1. Himpun/Kumpul Tunai
Seawal menceburi dunia pekerjaan, pasti ramai yang menyimpan pelbagai cita-cita - membeli kereta, rumah dan tidak ketinggalan melabur dalam pasaran saham.
Tetapi, ramai pakar kewangan berpendapat perkara paling penting yang harus dilakukan adalah membuat simpanan untuk kecemasan sekurang-kurangnya enam bulan jumlah perbelanjaan harian.
Hakikatnya, kata Clements, nasihat ini tidak realistik. Sekalipun anda menyimpan 10 peratus daripada pendapatan selepas pembayaran cukai, anda mungkin mengambil masa yang lama untuk membuat simpanan sebanyak itu.
Memburukkan keadaan, katanya, dalam memastikan simpanan kecemasan terus kukuh, ramai yang mengabaikan tabungan atau caruman yang lebih penting seperti skim kemudahan pekerja atau simpanan bagi pembelian rumah.
Nasihat beliau, lupakan tabungan untuk waktu kecemasan ini sebaliknya pastikan caruman dalam skim kemudahan pekerja, yang akan memberi pulangan lebih baik.
Ada simpanan dan nasib terbela sebagai pekerja.
2. Bergerak seiring pertumbuhan ekonomi
Sering kali anda dinasihatkan supaya membuat pelaburan besar dalam pasaran saham pada usia muda kerana pertama, ada masa panjang sebelum bersara dan kedua, cukup masa mengaut keuntungan sebelum pasaran saham jatuh. Ini adalah nasihat yang bagus - secara teori.
Realitinya, anda pasti tidak mahu melabur dalam pasaran saham dan panik ketika pasaran saham merudum. Lebih-lebih lagi, jika anda masih baru dalam `permainan’ ini dan tidak pernah berhadapan dengan krisis kejatuhan pasaran.
Sebaiknya, kata Clements, mulakan pelaburan dengan 60 peratus untuk saham dan 40 peratus bon. Jika anda tidak gusar dengan pasang surut pasaran saham, tingkatkan pelaburan saham ke 85 peratus atau 90 peratus satu atau dua tahun kemudian.
Kesimpulannya, jangan terlalu mudah terpengaruh dengan nasihat kewangan dan `termakan’ pujuk mereka yang konon-kononnya bergelar perundingan kewangan. Kenali kedudukan kewangan anda dan rancang perbelanjaan sebaiknya. Berpegang kepada perkara paling asas dan anda pasti tidak akan mengalami masalah kewangan.
3. Beli insurans nyawa/simpanan/pelaburan
Ejen insurans sentiasa `mendesak’ pekerja muda, dalam usia 20-an untuk membeli insurans nyawa merangkumi kemudahan pampasan kematian dan simpanan pelaburan dengan alasan ia lebih murah jika dibeli pada usia muda.
Jangan! Kata Clements, pembelian insurans sebegini, yang ternyata mahal hanya akan menjadi pelaburan yang tidak berfaedah jika syarikat anda menawarkan pelbagai skim atau pelan kemudahan pekerja yang melindungi kebajikan anda.
Perlu ingat, tujuan utama membeli insurans nyawa adalah untuk melindungi keluarga anda - anda tidak memerlukannya jika tidak berkeluarga, tiada suami, isteri atau anak. Jika sudah berkeluarga, dapatkan insurans yang hanya menawarkan kemudahan atau pampasan kematian. Itu sudah memadai, kata Clements.